15 November 2010: Pulang ke Taiping
Lebih kurang dalam pukul 10 malam saya...
Selasa 9 November 2010:
Selepas habis waktu kerja, saya bergegas mengambil isteri di stesen komuter. Kerana malam ini saya dan isteri berhasrat untuk membawa si boy kami, Harith, mendapatkan rawatan yang seterusnya di Klinik Chan. Kata rakan-rakan sepejabat, klinik ini bagus ubatnya. Harapan saya mudah-mudahan Harith menemukan ubat dari klinik itu sebagai penawarnya. Ini merupakan kali keempat kami membawa Harith ke klinik pakar kanak-kanak.
Ahad 31 Oktober 2010: Umi Harith Terlena
Menurut cerita umi Harith, ada suatu ketika, tatkala Harith sedang leka bermain, tanpa disangka-sangka umi tertidur. Tidak pernah berlaku berlaku sebelum ini. Saya pasti tentu umi keletihan yang amat sangat dan mungkin tidak tertahan-tahan agaknya. Sesedar daripada tidurnya itu, terlihatlah akan Harith sedang ligat mengaru-garu muka dan tangannya.
Umi panik apabila mendapati lengan Harith luka dan berdarah. Umi menelefon isteri saya lalu isteri saya menghubungi saya pula. Melihat keadaan lengan si hero kami, saya dan isteri pasrah dan reda kerana luka seperti itulah yang akan dialami Harith sekiranya saya atau isteri saya tertidur pada waktu malam tatkala mendodoinya tidur. Tiada ubat segera untuk memulihkan luka tersebut melainkan dengan cara mencucinya dengan air yang bersih, menyapu steroid, melekapkan kapas dan membalutnya. Selepas dua hari, luka itu kering dan menggelupas.
Isnin 7 Jun 2010: Hero Ayah Dan Mama
Hem… hero saya yang seorang ni, cerewet sikit tapi cerewetnya tidak pula menyusahkan ayah dan mamanya. Cerewetnya dalam bab makan, bahan mandian, pakaian, persekitaran, udara, dan sentuhan.
Apa tidaknya, kata doktor Harith menghidap keradangan saraf atau ekzema. Kata doktor-doktor dan pakar lagi, ekzema tiada ubatnya, tapi akan beransur-ansur pulih apabila Harith semakin dewasa.
Saya setuju dengan syor dan nasihat doktor, tapi tidak pula saya harus berserah bulat-bulat pada nasib semata-mata. Maka ke hulu dan ke hilir, siang dan malam, daripada pelbagai pendapat dan informasi, pelbagai jenis ubat sapuan dan makanan, yang moden atau yang tradisional, namun kami masih tidak menemukan penawar untuk hero saya yang seorang ini.
Saya setuju dengan syor dan nasihat doktor, tapi tidak pula saya harus berserah bulat-bulat pada nasib semata-mata. Maka ke hulu dan ke hilir, siang dan malam, daripada pelbagai pendapat dan informasi, pelbagai jenis ubat sapuan dan makanan, yang moden atau yang tradisional, namun kami masih tidak menemukan penawar untuk hero saya yang seorang ini.
Si Mama pula bersengkang mata setiap malam mendodoikan Harith yang keresahan, merengek, dan kegatalan hingga Si Mama menghidap hypertention. Aduhai, teruji sungguh dugaan yang kami hadapi.
Namun, apabila terkenangkan nasib anak insan lain yang lebih malang, maka hati utuh dan kuat kembali. Setiap penyakit ada ubat dan penawarnya. Kini, Harith semakin mencecah satu tahun.
Rabu 26 Mei 2010: Alahai Along Dan Angah!
Kata Si Sulung, "Asya, jangan jadi seperti Singa yang Nakal,".
Kata si adiknya pula, "Along yang nak jadi macam Singa yang Nakal,".
Begitulah karenah anak-anak saya. Yang sulung, petahnya berkata-kata tidak terduga. Yang Si Tengah, lain pula ceritanya. Tutur katanya agak pelat. Entah apa-apa yang disebutnya tidak saya fahami. Kadang-kadang Si Sulung mengingatkan saya agar jangan bercakap bohong tatkala saya sengaja menyakatnya.
"Mama... Along usik adik," kata saya.
"Mama... Along tak buat adik pun. Ayah jangan bohong. Di padang Masyar nanti, lidah kena potong!"
Saya terkedu. Tiada point untuk menafikannya.
"Maaf, Along. Yelah mama, Along tak usik adik," kata saya.
Beria-ria along mempertahankan dirinya. Benar, kanak-kanak tidak pernah berkata dusta. Enggan lagi mengusik Along dengan cara-cara begitu.
Angah lincah, pantas berbuat sesuatu itu dan ini, serta aktif. Angah selalu kena buli. Siapa lagi kalau Along yang punya angkara. Berebut-rebut itu dan ini. Angah susah nak mengalah, lalu bergaduhlah along dan angah untuk mempertahankan hak dan mainan masing-masing. Namun begitu, akhirnya Angah mengalah juga.
"Along dah besar. Asya kecil lagi. Mainan ini tak sesuai untuk budak-budak!" Itulah kata-kata yang terucap saban hari daripada mulut along tatkala berebut sesuatu dengan adiknya. Angah pun merengek dan mengadu kepada saya atau kepada mamanya.
Lantas saya segera mencari sesuatu untuk diberikan kepada angah. Jika tidak, akan merengeklah si angah setengah jam lamanya. Saya tidak kisah apabila terlihat mereka bergaduh kerana apa kurangnya saya semasa zaman kanak-kanak saya dahulu.
Biarkan mereka bergaduh. Biarkan mereka bertekak. Asalkan tidak berlaku kekasaran yang dapat memudaratkan diri. Saya menasihati mereka agar berbaik-baik semula. Itulah fitrah kehidupan.